UUM ONLINE: Wacana Felo IPDM buat julung kalinya dianjurkan oleh Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir Mohamad (IPDM) bagi tahun 2024 untuk menghidupkan budaya ilmu dan membumikan pengetahuan kepada seluruh lapisan masyarakat.
Diskusi yang diterajui oleh felo penyelidik/bersekutu IPDM menerapkan nilai murni dalam aspek kepimpinan dan pemikiran tokoh negara untuk dicontohi oleh anggota masyarakat. Selain itu, objektif penganjuran program adalah untuk menjana pemikiran yang kritis terhadap idea-idea kepimpinan dengan membuka ruang perbincangan.
Wacana Felo IPDM Siri 1/2024 dimulakan dengan analisis wacana linguistik yang disampaikan oleh pakar linguistik yang juga Felo Penyelidik Utama IPDM, Prof. Dr. Munif Zarirruddin Fikri Nordin. Idea kepimpinan dalam pemikiran pembaharuan Za’ba menjadi intipati diskusi ini.
Dr. Munif berkata, Pendeta Za’ba atau Tan Sri Dato’ (Dr.) Zainal Abidin Ahmad dan lebih dikenali sebagai Za’ba ialah sarjana dan ahli fikir Melayu yang terulung.
Secara sepintas lalu, Za’ba ketika hidupnya menulis berkenaan dengan berbagai-bagai tajuk iaitu bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu, agama, serta etika dan ekonomi orang Melayu. Namun demikian, perhatian dan minat beliau lebih besar dalam bidang bahasa lantas mendorong kesungguhan beliau dalam perjuangan memartabatkan Bahasa Melayu iaitu memperluas dan mengekalkan darjat bahasa Melayu di mata masyarakat yang diperkukuhkan oleh kesedaran serta keyakinan mendalam.
Dr. Munif juga melontarkan soalan adakah Za’ba mempunyai idea kepimpinan? Ya, sudah tentu. Za’ba dikenali, disanjung dan dikenang sebagai pejuang bangsa, ilmuwan pendidikan dan bahasa, tokoh agama dan politik. Namun, Za’ba juga merupakan tokoh intelektual ulung Melayu dalam pembinaan kemajuan pemikiran bangsa dan pembangunan dan pencetus kesedaran politik negara. Bahkan beliau ialah seorang pemikir Melayu yang mempunyai sumbangan yang besar dalam perkembangan dan pembangunan orang Melayu.
Kupasan analisis wacana intelektual ini meneliti kepimpinan Za’ba secara tersirat bukan tersurat. Dr. Munif memulakan dengan penceritaan latar belakang Za’ba. Kepimpinan Za’ba melibatkan matlamat dan proses antara pemimpin dan pengikut. Ini melibatkan beberapa komponen kepimpinan iaitu pihak yang terlibat, tingkah laku pemimpin, sebab diperlukan, tempoh masa, tempat, fungsi dan strategi kepimpinan.
Kebanyakan pengkaji menyatakan idea pemikiran Za’ba adalah pemikiran pembaharuan, maksudnya mengembalikan atau membawa kembali kepada asal. Apabila kita menisbahkan Za’ba kepada idea pemikiran baharu, ia berlaku apabila Za’ba mencadangkan disemak kembali, diperiksa dan diperbaharui dengan corak-corak baharu yang sesuai dengan semangat zaman itu.
Sumber premier diskusi dalam Wacana Felo IPDM ini adalah enam karya Za’ba pada lima dekad pertama dan dua sumber yang diterbitkan oleh Ungku A. Aziz (1975). Antaranya termasuklah The Poverty of Malays (1923a) yang diterjemahkan kepada Kemiskinan Orang Melayu (1927a), The Salvation of the Malays diterjemahkan kepada Jalan Keselamatan Orang Melayu, Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri dan sebagainya. Pendekatan wacana adalah adaptasi daripada tiga dimensi Analisis Wacana Kritis versi Fairclough (1995) iaitu teks dan praktis wacana.
Dr. Munif berkata, antara pembentukan idea pemikiran Za’ba mencadangkan orang Melayu perlu meneguhkan cita-cita, mempunyai wawasan, memiliki hati yang kuat/ boleh menerima cabaran, perlu menepati masa dan janji, mesti bekerja kuat, rela mengorbankan diri dan harta.
Terdapat beberapa hubungan kelemahan dan penyelesaian dengan idea kepimpinan iaitu ontologi kepimpinan, ruang dan masa, metafizik kepimpinan, hubungan sebab-akibat, integrasi kepelbagaian ilmu dan kemahiran (epistemologi, logik, etika dan estetika).
Kesimpulannya, Dr. Munif menegaskan bahawa dalam tema ekonomi, politik, pendidikan serta agama dan falsafah, Za’ba adalah pemikir yg mengukir asas kepimpinan melalui penulisan. Pengaruh idea kepimpinan Za’ba tidak boleh disamakan dengan pengaruh tokoh politik yang lebih bersifat propaganda.