UUM ONLINE: Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad (IPDM) telah menganjurkan Wacana IPDM siri ketiga dengan menjemput tokoh negara iaitu Pengerusi Malaysian Investment Development Authority (MIDA), Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob, baru-baru ini.
Program yang dijalankan secara dalam talian dan bersiaran langsung di Facebook IPDM (FB live) itu berlangsung selama dua jam bersama moderator, Prof. Dr. Munif Zarirruddin Fikri Nordin, Felo Penyelidik IPDM.
Perbincangan awal berkisar mengenai isu pembangunan ekonomi Malaysia yang terdiri daripada masyarakat berbilang etnik.
Dr. Sulaiman berkata, sejarah kewujudan masyarakat berbilang kaum bermula sejak zaman Melayu Melaka apabila kedapatan orang luar datang ke Tanah Melayu, begitu juga ketika British datang ke Tanah Melayu dengan membawa bersama pekerja-pekerja asing, misalnya dari negara China untuk perlombongan dan pekerja dari negara India untuk bekerja di ladang. Justeru apabila Persekutuan ditubuhkan pada tahun 1957, masyarakat Cina dan India diiktiraf menjadi warganegara Malaysia.
Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa isu ekonomi amat penting untuk difahami oleh masyarakat terutamanya yang berkaitan dengan keadilan antara kelas sosial, jurang antara bandar dengan luar bandar, pengagihan yang telus, kesamarataan dan lain-lain. Pembentukan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1970-an menjadi keutamaan dalam merancang agenda pembangunan bagi memenuhi keperluan negara berbilang etnik.
Katanya, dengan adanya DEB peratusan Bumiputera yang memiliki kerjaya profesional seperti doktor perubatan, akauntan, jurutera dan peguam semakin meningkat selepas pelaksanaan DEB yakni purata 50 hingga 55 peratus berbanding 5 hingga 6 peratus ketika DEB mula diperkenalkan.
“Peranan besar yang dimainkan oleh setiap Perdana Menteri terutamanya Allahyarham Tun Abdul Razak dalam menjamin keseimbangan ekonomi negara memelihara kedaulatan Melayu dan Bumiputera khususnya amat membanggakan.
“Pada 2001, Dasar Wawasan Negara diperkenalkan untuk mencapai sembilan cabaran utama termasuklah membina bangsa yang berdaya tahan, meningkatkan kualiti hidup dan keutuhan ekonomi, mengurangkan ketidakseimbangan di kalangan dan di dalam kumpulan etnik dan sebagainya,” katanya.
Selain itu, Model Ekonomi Baru (MEB) telah dilaksanakan pada 2010 diikuti dengan Polisi Baru Ekonomi Bumiputera pada 2013. Kerajaan terus memperkemaskan dasar-dasar berkaitan ekonomi dengan pembentukan Dasar Ekonomi Madani.
Tujuan dasar ini adalah untuk memperkasa rakyat sebagai wadah mengangkat semula darjat dan martabat negara dengan menstruktur semula ekonomi ke arah Malaysia sebagai peneraju ekonomi di rantau Asia Tenggara.
Dr. Sulaiman juga menegaskan kepelbagaian etnik merupakan satu kekuatan kepada ekonomi dan menyentuh secara ringkas beberapa konsep seperti Red Ocean dan Blue Ocean, malah disebut juga Green Ocean yang masih baru diperkatakan.
Kesimpulannya, Tan Sri Dr. Sulaiman menegaskan tujuan pembangunan ekonomi dan sosial adalah untuk mewujudkan insan kamil yang bukan hanya mempunyai pelajaran dan pekerjaan, malah lebih penting mempunyai integriti.
Isu integriti mula diberi perhatian semasa kepimpinan Perdana Menteri ke-6, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang melihat cabaran dalam kepimpinan termasuklah salah guna kuasa, rasuah, ketirisan, kroni dan sebagainya.
Kajian ilmiah turut membantu dalam menyalurkan informasi berkaitan isu integriti ini. Amanah yang dipikul oleh beliau pada ketika itu dilaksanakan dengan cara membudayakan integriti dalam kalangan pegawai (menjalankan kursus-kursus integriti kepada PDRM, Kastam, Imigresen dan lain-lain) selain daripada bekerjasama dengan agensi swasta.
Pada akhir sesi, terdapat beberapa soalan yang menyentuh kepada strategi negara-negara membangun untuk berdaya saing di dalam era yang tidak menentu (uncertainty) ini dan beliau menegaskan negara membangun untuk memperkasakan R&D bagi menghasilkan produk atau perkhidmatan yang terbaik, dan beliau juga menjawab persoalan kepada bentuk pendekatan ekonomi di negara kita adalah sememangnya berdasarkan ‘need-based’.