Artikel

HENTIKAN POLEMIK, PANCARKAN IMEJ BEKERJA

Akhir-akhir ini, boleh dikatakan, begitu banyak polemik yang dicuba diketengahkan oleh pelbagai pihak, sehingga mencipta kegusaran di kalangan rakyat.

 

Boleh diibaratkan hampir kesemuanya berbentuk sensasi sehingga kita boleh menjadi alpa dengan perkara utama yang perlu kita lakukan untuk negara ini.

Satu demi satu isu picisan yang ditimbulkan oleh pemimpin-pemimpin negara, tidak kira dari pihak kerajaan mahupun pembangkang.

Apakah mereka melaung-laungkan isu sebegini adalah untuk sekadar meraih simpati dan populariti atau sememangnya ianya merupakan sesuatu perkara dasar yang perlu diketengahkan?

Lebih menyedihkan kebanyakan isu yang diketengahkan itu tidak diiringi dengan maklumat yang cukup sehingga rakyat cepat membuat pentafsiran sendiri yang pastinya tidak selari dengan kehendak asal.

Kalau dilihat kepada kehendak negara ketika ini, saya amat bersimpati dengan YAB Perdana Menteri yang seolah-olah mengendalikan negara seorang diri, manakala masih terdapat beberapa lantikan yang diberi kepercayaan dan amanah untuk dipikul, seperti gagal berfungsi dengan jayanya.

Malah bukan menyelesakan konflik akan tetapi seperti menyimbah minyak ke atas api yang sedang marak menyala.

Adakah sistem musyawarah kabinet sebelum sesuatu dasar digemburkan sudah terhapus, atau kepimpinan baru masih tidak memahami kaedah-kaedah menjadi pemimpin negara yang baik.

Bagi penulis adalah lebih tepat jika sesuatu keputusan yang besar dibawa berunding dalam kabinet sebelum ianya diumumkan. Tindakan sebegini boleh membantu mendapat pertimbangan dan nasihat dari pelbagai sudut pandangan.

Secara tidak langsung ia boleh dianggap keputusan yang kolektif, bukannya sekadar syok sendiri.

Ketika negara diambang kegawatan ekonomi yang agak serius, adalah lebih baik jika semua pihak memfokuskansegala kudrat dan fikrah yang ada untuk menjadikan negara ini lebih kondusif.

Segala tindakan dan dasar yang ingin diperkenalkan perlu membawa kepada keharmonian dan keamanan supaya semua dapat bergerak dalam satu hati tanpa berbolak-balik.

Negara amat memerlukan setiap dari kita, bersama-sama, untuk keluar dari dugaan ini. Tetapi janganlah wujudkan sesuatu yang boleh menggagu proses pembaikan yang cuba kita laksanakan ini.

Oportunis memang sentiasa berada di mana-mana sahaja, tetapi bagi pimpinan semasa, janganlah mencipta polemik untuk mereka mengarab menjadi modal meraih populariti.

Boleh hancur negara ini jika kita gagal mengawal suasana semasa. Negara-negara lain sudah merealisasikan agenda Industri revolusi 4.0 dan mereka juga sudah mula berbincang ke arah 5.0 malangnya negara kita agenda 3.0 pun masih terkial-kial, pastinya dengan adanya isu-isu sampingan yang sedang disensasikan ketika ini pergerakan kita tertambat.

Bebaskan bebanan ini dengan mencipta keharmonian dalam setiap perkara yang kita lakukan.

Tidak dapat dinafikan perbezaan pendapat sentiasa ada tetapi kita jangan mencetuskan perbezaan tersebut kepada perbalahan. Nasihat saya buat pimpinan negara, berhati-hatilah dalam mengutarakan satu pandangan dan jangan menampakkan pandangan peribadi sebagai pandangan kerajaan juga.

Kerana jika ia menjadi pandangan kerajaan secara automatik ianya menjadi dasar. Apabila ia menjadi dasar maka ia perlu diperjelaskan dan dihalusi sepenuhnya bukan sekadar tangkap muat sahaja.

Penjelasan demi penjelasan perlu dilakukan agar rakyat tidak terbelenggu dengan prasangka, yang akhirnya boleh membawa kepada persengketaan dan permusuhan.

Menjadi pemimpin bukan sekadar memerlukan bakat tapi perlu juga ilmu dan kesabaran. Belajarlah untuk memimpin semoga YAB Perdana Menteri tidak keseorangan dalam menakhodai bahtera pelayaran ini. Semoga Malaysia bangkit menjadi Harimau Asia kembali.

 

Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri adalah Pengarah Institut Pemikiran Dr, Mahathir, Universiti Utara Malaysia.  Artikel ini tersiar di Utusan Malaysia, 4 Disember 2018.

Tags: IPDM, uum, zaharuddin, polemik, imej bekerja