Artikel

DUA KUNTUMAN SEJARAH LISAN MAHATHIR, HASMAH

UUM SINTOK, 25 NOV 2018:  Tun Dr Mahathir Mohamad dan isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali meninggalkan kesan sejarah yang sangat besar terhadap negara, termasuklah dua kuntuman sejarah lisan yang dihasilkan Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir (IPDM) Universiti Utara Malaysia dengan kerjasama Yayasan Kepimpinan Perdana.

     Siri buku 'Jejak Seorang Pemimpin - Sejarah Lisan Tun Dr Mahathir Mohamad' dan 'Jejak Seorang Pemimpin - Sejarah Lisan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali' merupakan temu bual yang dilakukan IPDM dan diterbitkan MPH pada tahun 2014 lagi.

    Menariknya buku ini kerana temu bual yang dilakukan oleh pensyarah UUM dan transkripnya dibukukan untuk tatapan dan bahan penyelidikan kepada umum, khususnya untuk generasi akan datang.

      Dan, Tun Dr Mahathir seperti biasa tidak menggunakan perkataan yang sukar difahami walaupun tema bicaranya menyentuh hal yang kompleks.

     Dalam buku Sejarah Lisan Tun Dr Mahathir, beliau menyentuh pelbagai perkara termasuklah tema pemikiran awal beliau mengenai Dilema  Melayu, penyingkiran dari Umno, Kembali ke Pangkuan Umno, Dasar Ekonomi Baru dan dasar-dasar yang digerakkan oleh beliau selama menjadi Perdana Menteri 22 tahun.

    Tidak rugi meneroka pemikiran Tun Dr Mahathir yang dalam banyak keadaan konsisten semenjak sebelum dilantik sebagai Perdana Menteri, apa lagi sekali lagi beliau memegang jawatan Perdana Menteri dan seseorang boleh menjangka sikap beliau terhadap sesuatu isu berbangkit kerana sejarah berlaku di atas landasan yang tidak terputus.

    Dalam seluruh ucapan dalam majlis sepanjang menjadi Perdana Menteri ke-4, Dr Mahathir memberikan keutamaan kepada ucapan ketika disampaikan dalam Perhimpunan Agung UMNO.

   "Saya anggap pada Perhimpunan Agung itu sebagai ucapan yang terpenting pada setiap tahun kerana ia memberikan gambaran tentang arah mana kita akan cuba membawa negara kita ini dan dalam pada itu soal penyertaan semua kaumlebih penting.

  "Saya berpendapat  bahawa penyertaan Bumiputera masih tidak memuaskan dan saya perlu menegur sikap mereka, punca mengapa mereka ketinggalan dan apa yang harus dibuat oleh mereka." (m.s: 171).

    Mengenai buku sejarah lisan Tun Siti Hasmah pula, banyak yang orang ramai tidak begitu tahu mengenai diri yang memberi kekuatan kepada Dr Mahathir.

    Ramai tidak tahu Siti Hasmah disebut "Deh" sebagai panggilan manja dalam keluarga sejak kecil, dan anam itu tiada kaitan dengan Dr Mahathir yang kemudian menjadi suami tercintanya.

   Beliau tidak segan menyatakan dirinya semasa kecil seorang tomboy daripada 10 adik beradik dengan beliau sebagai anak keenam. 

   Sama dengan ayah Dr Mahathir, ayah Dr Siti Hasmah juga sebagai seorang yang tegas yang mengawal kelakuan anak-anaknya menggunakan rotan.

  Dalam buku yang juga diterbitkan MPH mengandungi 18 bab itu menyentuh pelbagai perkara termasuklah bagaimana beliau berkenalan dengan Dr Mahathir, kerjaya dan harapan beliau kepada generasi muda hari ini.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Tags: sejarah lisan, mahathir, siti hasmah, mph, Kepimpinan perdana