Artikel

KACAU BUBUR ASYURA, ERATKAN UKHWAH IPDM-IPD KUBANG PASU

Amalan memasak bubur asyura sudah sebati dengan tradisi masyarakat Malaysia setiap kali tibanya bulan Muharam.

Institut Pemikiran Tun Dr.Mahathir Mohamad (IPDM) Universiti Utara Malaysia (UUM) turut tidak ketinggalan memeriahkan sambutan bulan bersejarah dalam kalendar Islam ini dengan menganjurkan Program Mengacau Bubur Asyura semalam.

Program ini mendapat kerjasama Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komunti Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu (IPD) telah dirasmikan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, YDH Superintendan Mohd Ismail Ibrahim bersama Pengarah IPDM UUM, Dr Hj Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri di ruang legar IPDM.

Seramai 20 orang anggota termasuk Amanita mewakili IPD Kubang Pasu bersama 20 kakitangan IPDM menjayakan program ini.

Felo Penyelidik IPDM, Dr Herman Shah Anuar berkata program ini menunjukkan sinergi di antara IPDM dan IPD Kubang Pasu dalam melaksanakan konsep menginsankan pendidikan (Humanising Education).

"Selain mengeratkan hubungan silaturrahim di antara polis dengan kakitangan IPDM, program ini juga merupakan mekanisme terbaik bagi menerapkan semangat gotong – royong dan mengingati hari bersejarah dalam kalendar Islam.

"Di samping itu, konsep budi dan bakti turut dizahirkan dalam meningkatkan pertautan insitusi pendidikan dan agensi keselamatan negara," ujarnya.

Sebanyak 300 bekas bubur asyura diagihkan kepada semua kakitangan IPDM dan balai–balai polis yang berhampiran.

YDH Supt Mohd Ismail Ibrahim turut dibawa melawat IPDM sambil berbincang mengenai potensi kerjasama strategik yang dapat dijalin pada masa depan.