Artikel

AWAS PENIPUAN TELEKOMUNIKASI! – CERAMAH DEDAH BAHAYA PENIPUAN ALAM MAYA

image003

Peningkatan jumlah kes penipuan telekomunikasi sejak akhir-akhir ini yang menyebabkan kerugian berjutaan ringgit menimbulkan kebimbangan banyak pihak.

Pada tahun 2017 sebanyak 1,652 kes "love scam" telah dilaporkan di seluruh Malaysia membabitkan kerugian berjumlah RM61.9 juta, sementara pada tahun 2018 dari Januari hingga Ogos pula kerugian sebanyak RM 83.6 juta dicatatkan di mana kebanyakan mangsanya adalah golongan wanita profesional.

Justeru bagi memberi kesedaran mengenai penipuan telekomunikasi yang sedang rancak berlaku serta berkongsi ilmu dan pengetahuan tentang tindakan yang perlu dilakukan apabila berhadapan dengan situasi berkenaan, Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad (IPDM) dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu telah menganjurkan Ceramah Penipuan Telekomunikasi bertempat di Dewan Seminar C, Pusat Konvensyen.

Ceramah ini menampilkan lima pegawai dari IPD Kubang Pasu, diketuai Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superitendan (DSP) Chien Chunng Tsaur.

Dalam ucapan aluannya, beliau berkata jenayah penipuan berkembang pesat seiring dengan perkembangan teknologi dan ledakan teknologi maklumat.

"Banyak kaedah dan cara penipuan baharu telah muncul pada masa kini. Dahulu jika penjenayah nak dapatkan duit, mereka pergi ke rumah mangsa, curi dan guna kekerasan. Namun pada masa kini, jenayah boleh dilakukan dihujung jari dengan menggunakan alat telekomunikasi.

"Samun di alam maya ini lebih banyak mendatangkan kerugian berbanding dilakukan secara fizikal. Oleh itu sesi pada hari ini adalah untuk memberi penerangan mengenai bahaya penipuan alam maya," ujarnya.

Perkongsian ilmu mengenai penipuan telekomunikasi disampaikan oleh Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, IPD Kubang Pasu, Inspektor Devan A/L Raman.

Beliau antara lain menerangkan bagaimana modus operandi jenayah penipuan ini dijalankan iaitu menerusi sindiket-sindiket seperti Macau Scam, Phishing/ email, ATM, ugutan gambar lucah, pembelian Online, Love Scam, African Scam, SMS dan internet banking.

"Nasihat yang boleh diberikan untuk mengelak daripada menjadi menjadi mangsa penipuan telekomunikasi ini adalah sentiasa berasa curiga terhadap panggilan telefon, emel atau mesej daripada kenalan di internet dan mendapatkan pengesahan terlebih dahulu dari "Police Cyber Crimes Investigation and Response Centre," jelasnya.

Selain itu beliau turut menyeru orang ramai untuk menyebarkan maklumat-maklumat mengenai taktik penipuan telekomunikasi dan langkah mencegahnya bagi mengelak lebih ramai mangsa terpedaya.

Warga kampus yang hadir pada ceramah itu juga diperkenalkan dengan aplikasi telefon pintar, Volunteer Smartphone Patrol atau lebih dikenali sebagai VSP yang merupakan satu inisiatif baru Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mewujudkan kolaborasi dan kerjasama strategik mencegah jenayah bersama masyarakat tempatan sebagai mata dan telinga pihak polis.

Hadir sama, Felo Penyelidik IPDM, Dr Herman Shah Anuar dan Pengarah IPDM, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri.