IPDM CIPTA SEJARAH DISENARAIKAN DALAM THE MALAYSIA BOOK OF RECORDS HASIL SKROL 30 METER

Posted in Akhbar & Berita

First Pictorial Historiography Perpustakaan Alor Setar



UUM ONLINE : Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad (IPDM) melakar sejarah apabila disenaraikan dalam The Malaysia Book of Records atas kejayaan penghasilan Skrol Pictorial Historiografi Dua Millenia Pensejarahan Negeri Kedah yang pertama sepanjang 30 meter.

Majlis penyampaian sijil The Malaysia Book of Records itu telah disempurnakan oleh Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Mukhriz Tun Mahathir kepada Timbalan Pengarah IPDM, Dr. Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri di Auditorium Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah, semalam.

Majlis penyampaian sijil itu diadakan sempena penutupan Geran Penyelidikan Kerajaan Negeri Kedah yang bertajuk Projek Lukisan Dua Millenia Sejarah Negeri Kedah yang bermula sejak Jun 2014.

Yang Amat Berhormat Menteri Besar dalam ucapan beliau berkata, sejarah memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia sekaang dan juga pada masa hadapan, walaupun generasi kini dilihat tidak mengambil berat tentang sejarah ini.

"Atas usaha IPDM dengan kerjasama badan-badan terlibat telah menghasilkan satu inovasi sejarah menerusi beberapa sub-projek seperti Interaktif Rumah Kedah, buku ensiklopedia 'Dua Millenia Sejarah Negeri Kedah' dan juga Skrol Pictorial daripada geran tersebut.

"Saya ucapkan terima kasih atas usaha keras semu pihak terutama IPDM dan agensi lain yang banyak membantu penyelidik dalam penghasilan projek berkenaan," katanya.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri akan memberi sokongan penuh terhadap pelaksanaan projek itu dan berharap masyarakat juga akan lebih memahami dan menghargai sejarah khususnya di negeri Kedah.

Ujarnya, tanpa sejarah juga, masyarakat tidak akan dapat terus maju ke hadapan dan mengetahui asal usul sesuatu bangsa, negara dan agama.

Sementara itu, Timbalan Pengarah IPDM, Dr. Ahmad Zaharuddin Sani berkata, skrol sepanjang 30 m x 44 cm itu dihasilkan kerana ingin melibatkan dua generasi supaya mengenali sejarah terutamanya tentang Sultan Maulana yang mana syair tersebut kini dalam simpanan Muzium British.

Katanya, dengan penglibatan penulis dan pelukis dari dua generasi untuk projek skrol ini, secara tidak langsung akan menarik mereka untuk mendekati dan memahami sejarah serta perlu pembacaan sebelum memulakan projek itu.

Menurutnya, seramai sembilan pelukis dan penulis digunakan termasuk beliau bagi menghasilkan skrol yang mengambil masa selama sebulan disiapkan.

"Kami memilih menyampaikan syair Sultan Maulana melalui skrol ini adalah untuk mendekatkan masyarakat kepada sejarah menerusi kaedah terbaru hasil inovasi kami sendiri supaya mendapat kepelbagaian.

"Syair Sultan Maulana kini sudah menjadi milik kerajaan British dan kami tidak mahu ia terus lupus dari ingatan dan pengetahuan rakyat Kedah. Malah, kami juga terpaksa menterjemahkan syair asal dalam tulisan jawi kepada rumi supaya orang ramai dapat memahaminya.

"Syair ini menceritakan kehebatan Kedah suatu ketika dahulu sehingga Kerajaan Siam turut meminta bantuan dari Kedah untuk menyerang Burma," ujar beliau yang turut merakamkan penghargaan kepada semua staf IPDM yang menjayakan projek tersebut.

Tambahnya lagi, skrol ini akan dibawa ke seluruh Kedah melalui pameran bergerak sebagai satu tarikan pelancongan sempena Tahun Melawat Kedah 2016.

uum icon mygov msc mampu  myline tourism krste sirim

Logo Footer new januari 2017

IPDM