PELAJARI SEJARAH RUMAH TRADISIONAL KEDAH DALAM APLIKASI TIDAK MEMBOSANKAN

Posted in Akhbar & Berita

image004

UUM ONLINE : Sejajar dengan perkembangan teknologi moden kini, tiga penyelidik yang diketuai Timbalan Pengarah Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir (IPDM), Dr. Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri telah menampilkan projek multimedia Interaktif Rumah Tradisional Kedah yang berkonsepkan digital yang lebih mesra pengguna.

Projek mega itu merupakan usahasama IPDM dengan Kerajaan Negeri Kedah dengan menghasilkan sebuah ensiklopedia lengkap Sejarah 2 Milinia Negeri Kedah Darul Aman.

Projek multimedia yang turut dibantu dua penyelidik Syahrini Shawalludin, Pensyarah dari Jabatan Senilukis dan Senireka, UiTM Kedah dan Dr. Roziya Abu, Pensyarah Kanan di Jabatan Pengurusan Maklumat, UiTM Kedah itu dihasilkan selaras dengan konsep asal kajian tersebut iaitu Sejarah 2 Milinia Kedah Darul Aman: Menghasilkan Lakaran Sejarah Negeri Kedah Secara Kreatif dan Artistik.

Dr. Ahmad Zaharuddin Sani ketika ditemui berkata, hasil projek itu dibina khas kepada pengguna Android untuk memudahkan mereka mendapatkan maklumat tentang rumah Kedah.

"Pembelajaran sejarah akan menjadi bosan dalam zaman teknologi canggih kini sekiranya ia tidak disampaikan dengan lebih kreatif yang mampu menarik perhatian orang ramai.

"Sehubungan itu, dengan adanya aplikasi seperti ini, pembelajaran tentang rumah Kedah ini menerusi aplikasi interaktif akan menjadi lebih menghiburkan dan tidak bosan," katanya.

Mengulas lanjut mengenai aplikasi tersebut, Dr. Ahmad Zaharuddin Sani berkata, tiga proses termasuk pembinaan konsep pengisian maklumat, pemilihan dan pembangunan perisian, kesepaduan pengisian maklumat serta perisian menjadi nadi utama penciptaan itu.

Tambahnya lagi, aplikasi berdasarkan Android itu dilihat lebih kreatif dan efektif selepas pengguna kini sudah malas untuk bergerak ke kios atau muzium untuk mendapatkan maklumat terutama berkaitan sejarah.

Katanya, sudah menjadi tanggungjawab beliau bersama dua lagi penyelidik untuk mengembalikan kegemilangan sejarah melalui teknologi moden yang selaras dengan perkembangan semasa.

"Produk ini juga akan mewakili Universiti Utara Malaysia (UUM) ke Ekspo Penyelidikan dan Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa (Pecipta) 2015 pada Disember nanti yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC)," ujarnya lagi.

Aplikasi Rumah Tradisional Kedah menampilkan visual tiga dimensi (3D) dengan fungsi interaktif yang mampu menarik minat golongan remaja khususnya.

Produk ini juga telah merangkul pingat perak dalam Pertandingan Inovasi iCompEx'15 dan Invention, Innovation & Design Exposition (iidex2015) yang berlangsung baru-baru ini.

 

uum icon mygov msc mampu  myline tourism krste sirim

Logo Footer new januari 2017

IPDM