SNAR 2014 BINCANG ISU PERPADUAN NEGARA

Posted in Akhbar & Berita

SNAR 2014

UUM ONLINE: Kuala Lumpur, 23 Disember - Setelah 57 tahun negara mencapai kemerdekaan, soal perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia masih menjadi isu nasional terutama dalam proses pembinaan negara bangsa.

Sehubungan itu, Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad (IPDM) Universiti Utara Malaysia (UUM) menganjurkan Seminar Ketahanan Nasional (Seminar on National Resilience, SNAR 2014) bagi membincangkan isu-isu ketahanan dan pembangunan negara dalam kalangan lapisan masyarakat selaras dengan bidang tujahan Institut iaitu Ketahanan Nasional dan Pembinaan Negara Bangsa.

Pengarah IPDM Prof. Dato Dr. Abdul Rahman Abdul Aziz yang menyampaikan ucapan aluan pada seminar itu berkata SNAR adalah satu wadah pertemuan bagi pelbagai lapisan masyarakat sarjana, penggubal dasar, pemikir, tokoh dan pelajar untuk berbincang mengenai isu-isu berkaitan ketahanan nasional.

"SNAR 2014 merupakan penganjuran kali kelima sejak penganjuran pertamanya pada 2010 dan seminar kali ini memilih tema "Kepelbagaian Dalam Membentuk Kesepaduan" selaras dengan negara yang telah mencapai 57 tahun kemerdekaan. Justeru adalah wajar bagi setiap rakyat memahami konsep ketahanan nasional dan terus memacu Malaysia untuk bersaing di pentas dunia dengan imejnya yang tersendiri, sebuah negara yang penuh dengan kepelbagaian," ujar beliau.

Sementara itu Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) Prof. Dr. Abdul Razak Saleh yang berucap mewakili Naib Canselor, Prof Dato' Wira Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata sumbangan idea yang bernas oleh pembentang dan peserta dalam seminar ini dapat memberi manfaat kepada negara dan impak kepada pihak yang terlibat dalam usaha membentuk kesepaduan dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Perasmian seminar disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Y.B Dato' Razali Ibrahim. Dalam ucapan perasmiannya, beliau berkata dasar-dasar yang dilaksanakan negara terutama dalam isu ketahanan nasional dan pembentukan negara bangsa harus bersifat realistik dan bukannya idealistik.

"Sesuatu yang nyata dan realiti tidak semestinya enak didengar namun hakikatnya pentadbiran dan pengurusan negara mahupun sebuah institusi yang baik tetap perlu membuat keputusan sebagaimana Tun Dr. Mahathir Mohamad sewaktu menjadi Perdana Menteri pernah berkata seorang pemimpin perlu buat keputusan dan perlu jadikan keputusan itu betul," katanya.

Kira-kira 160 peserta terlibat dalam SNAR pada kali ini. Ucap utama seminar bertajuk "Kepelbagaian Dalam Membentuk Kesepaduan" telah disampaikan oleh Prof. Datuk Dr. Zainal Kling.

Objektif seminar ini ialah menyediakan platform bagi percambahan idea dalam mengupas isu-isu kontemporari berkaitan perpaduan dalam proses pembinaan negara bangsa, mewujudkan jalinan kerjasama dalam kalangan individu dan organisasi, serta menghasilkan penerbitan akademik berkaitan isu-isu yang dibincangkan sebagai rujukan generasi kini dan masa depan.

Antara topik-topik yang dibincangkan pada seminar satu hari ini ialah perpaduan, hubungan etnik, keselamatan, hubungan antarabangsa, politik dan tadbir urus, ekonomi, sejarah pendidikan, dasar dan peranan badan bukan kerajaan (NGO).

uum icon mygov msc mampu  myline tourism krste sirim

Logo Footer new januari 2017

IPDM