MENTERI BESAR KEDAH MERIAHKAN LAGI SEMINAR PEMIKIRAN TOKOH NEGARAWAN ASEAN 2014

Posted in Akhbar & Berita

UUM ONLINE MB

UUM ONLINE: 22 September - Seminar Pemikiran Tokoh Negarawan ASEAN 2014 anjuran Arkib Negara Malaysia dengan kerjasama Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad (IPDM) Universiti Utara Malaysia (UUM) dimeriahkan lagi dengan kehadiran Menteri Besar Kedah, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir di EDC-UUM petang semalam.
 
Sesi Bersama Menteri Besar itu merupakan sebahagian daripada aturcara seminar dua hari yang diadakan bagi membincangkan tentang ketokohan dan pemikiran tokoh-tokoh negarawan negara-negara ASEAN.
 
Sesi tersebut dimulakan dengan tayangan Video Wawancara dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad Tentang Peranan Malaysia Di Pentas Dunia dan disusuli dengan ucaptama oleh YAB Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir.
 
Dalam ucaptamanya, beliau menceritakan tentang keperibadian dan perwatakan bapanya, Tun Dr. Mahathir Mohamad, seorang tokoh negarawan ulung yang juga Perdana Menteri Malaysia Ke-4 melalui perspektif seorang anak.
 
Antara kisah menarik yang diceritakan ialah hubungan Tun Dr Mahathir dengan keluarga, keperibadian Tun Dr. Mahathir yang tidak diketahui ramai dan pemikiran-pemikiran disebalik keputusan sewaktu kepimpinan beliau selama 22 tahun.
 
“Salah satu dasar yang agak tidak rasmi tetapi sebenarnya mempunyai banyak makna dan diterjemahkan dalam pelbagai bentuk dalam segala keputusan yang dibuat di Malaysia sewaktu kepimpinan beliau dari 1981 hingga 2003 ialah semangat “Malaysia Boleh”. Tujuannya ialah untuk menyuburkan rasa yakin dan mewujudkan jati diri yang kuat kepada rakyat Malaysia dalam melakukan apa sekalipun,“ ujarnya.
 
Beliau memberi contoh bagaimana keyakinan diri yang tinggi yang ada pada Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj dalam menuntut kemerdekaan dari British yang merupakan kuasa besar dunia pada ketika itu walaupun Malaysia hanya negara kerdil yang telah dijajah lebih 400 tahun.
 
“Sifat keyakinan yang ada pada Tunku Abdul Rahman ini dibawa oleh Tun Dr. Mahathir ke tahap yang lebih tinggi. Semangat “Malaysia Boleh” dapat diterjemahkan dengan adanya wawasan dan impian yang tinggi. Dahulunya mungkin ramai yang tidak yakin Malaysia mampu mengeluarkan kereta sendiri, namun hari ini kita dapat lihat banyak mercu tanda yang menjadi kebanggan negara seperti Jambatan Pulau Pinang, Lebuhraya Utara-Selatan, Menara Berkembar PETRONAS dan Putrajaya," tambah beliau lagi.
 
Hadirin yang hadir turut diberi peluang menanyakan soalan mengenai Tun Dr. Mahathir dalam sesi soal jawab yang diadakan selepas sesi ucaptama itu.
 
Pada majlis yang sama juga, Dato’ Seri Haji Mukhriz turut melancarkan buku “Demokrasi Di Malaysia” hasil tulisan Dr. Haji Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri, Prof. Dato' Dr. Abdul Rahman Abdul Aziz dan Muhamed Nor Azman Nordin dari IPDM.
 
Buku tersebut mencerakinkan konsep dan makna demokrasi yang menjadi dasar dan tunjang sistem kenegaraan Malaysia agar rakyat lebih memahami "demokrasi" bukan sekadar "kebebasan" semata-mata.
 
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Exco Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri Kedah, Yang Berhormat (Y.B) Aminuddin Omar; Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Kayu Hitam, Y.B Dato' Ahmad Zaini Japar; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Abdul Malek Abdul Karim; Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Azemi Abdul Aziz; Pengarah IPDM UUM, Prof. Dato' Dr. Abdul Rahman Abdul Aziz; Pengarah Bahagian Arkib Negarawan, Arkib Negara Malaysia, Ihsan Hassan, pegawai-pegawai kanan UUM dan Arkib Negara Malaysia.

 

uum icon mygov msc mampu  myline tourism krste sirim

Logo Footer new januari 2017

IPDM