IPDM TERIMA 10 ORANG EDITOR ‘JLP’

IPDM TERIMA 10 ORANG EDITOR ‘JLP’

Seramai 10 orang Editor telah menerima watikah pelantikan sebagai Editor ‘Journal on Leadership & Policy’  oleh Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad (IPDM), baru-baru ini.

Watikah Pelantikan tersebut telah disempurnakan oleh Pengarah IPDM, PPjR. Dr Hj Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri, yang juga merupakan Chief Editor sempena taklimat kali pertama bersama sidang Editor Journal on Leadership & Policy (JLP).

Dalam pertemuan tersebut, Pengarah IPDM turut mengucapkan syabas dan tahniah atas pelantikan semua Editor bagi tempoh dua tahun mulai Oktober 2017 hingga Oktober 2019.

“Taklimat kali pertama ini bukan sahaja ingin memperkenalkan sidang Editor, malah ia lebih memfokuskan kepada perancangan awal JLP sehingga tahun 2020.

“Selain latihan dan pembangunan, serta program-program penyelidikan yang dijalankan, IPDM amat memberi penekanan kepada bidang kepimpinan dan polisi.  Justeru, saya amat berharap semua Editor yang dilantik dapat memberi komitmen yang baik dalam menyunting dan menghasilkan sebuah jurnal yang berkualiti.

“Penghasilan jurnal yang baik akan dikenali dan dirujuk oleh ahli akademik dan pelajar. Selain itu, penemuan baru dalam penyelidikan juga mampu membantu menyelesaikan masalah kepada para akademik”, katanya.

Antara Editor yang hadir semasa pelantikan iaitu, Dr. Zahurin Mat Aji, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pengkomputeran; Dr. Yusramizza Yusuff, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Undang-undang; Dr. Mohd Zakhiri Md. Nor, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Undang-undang; Dr. Ahmad Zubir Ibrahim, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kerajaan; Dr. Khadijah Mohamed, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Undang-undang; Dr. Shamshuritawati Sharif, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Kuantitatif; Encik Al-Hanisham Mohd Khalid, Pensyarah Pusat Pengajian Undang-undang; dan Puan Azam Arni Mohd Noor, Pegawai Penyelidik Sosial IPDM.