Artikel

SANTAI YB BERSAMA IPDM TAMPILKAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

image005

Pernah menetap dalam rumah setinggan bersama ibu bapa dan lapan adik-beradik lain di Jalan Chan Sow Lin telah mendorong Yang Amat Berhormat (YAB) Chow Kon Yeow untuk mengubah nasib diri dan keluarga sehingga beliau kini berjaya menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang baharu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada Mei lalu.

Kisah kehidupan beliau dan harapan membangunkan Pulau Pinang itu dikongsi bersama semua penonton FBLive IPDM pada program Santai Bersama YB Bersama Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir (IPDM) Siri Ke-5 di IPDM, pagi tadi.

Bersama moderator, Pengarah IPDM, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri menelusuri kehidupan Chow Kon Yeow sejak kecil sehingga beliau berkecimpung dalam dunia politik sekitar tahun 1986.

YAB Ketua Menteri berkata, kehidupan sederhana beliau sekeluarga tinggal dalam rumah setinggan telah membantu membentuk peribadi dan akhlaknya untuk membalas jasa orang tuanya kini, malah beliau juga tidak menjangkakan untuk menjadi pengganti YAB Lim Guan Eng selepas PRU-14.

Pada sesi yang berlangsung selama sejam itu, beliau banyak berkongsi pengalaman beliau dalam dunia politik serta menjadi EXCO Kerajaan Negeri selama 10 tahun dalam senario yang berbeza, namun ia tidak pernah mematahkan hasrat kerajaan negeri untuk membangunkan Pulau Pinang walaupun tidak berharap kepada kerajaan memerintah dahulu.

"Saya berharap untuk menjaga kepentingan semua rakyat di Pulau Pinang dengan kemudahan infrastruktur yang berada di tahap lebih baik dan pada masa sama menjaga kelestarian alam sekitar.

"Selain itu, saya mahu masyarakat hidup bersatu padu dan harmoni dengan pencapaian sosial yang sejahtera," katanya.

Kehadiran beliau ke UUM turut disambut Naib Canselor, Prof Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani dan pegawai kanan universiti di Foyer Canselori dan beliau berkesempatan melawat Anjung Tamu dan Galeri UUM.