Artikel

IPDM RANGKUL EMAS DALAM ITEX 2018

itex

Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad (IPDM) telah berjaya memenangi pingat Emas dalam 29th International Invention, Innovation and Technology Exhibition 2018 (ITEX2018) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 10 hingga 12 Mei 2018.

Pasukan IPDM yang diterajui oleh Pengarah IPDM, PPjR. Dr Hj Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri, telah membawa satu sistem iaitu Lead to Lead Recommender dalam pertandingan tersebut.

Aplikasi dan sistem yang dibangunkan adalah sebagai satu inovasi yang boleh digunakan oleh organisasi dalam meneliti pengambilan staf baru yang memfokuskan kepada penilaian kepimpinan.

Menurut Dr. Hj. Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, kecekapan sistem ini merupakan satu kaedah untuk mengenal pasti personaliti pemimpin dalam organisasi selain memudahkan organisasi untuk membuat pemilihan staf yang tepat dan memenuhi dengan kehendak majikan. 

“Sistem ini juga dicipta bagi meningkatkan kualiti pengambilan staf, sekali gus setiap individu akan berpuas hati dengan kecekapan dan tahap efisien sistem yang dibangunkan,” katanya lagi.

Pameran ITEX 2018 merupakan satu platform yang mengetengahkan produk-produk inovasi dan reka cipta yang dihasilkan oleh para akademik dan bukan akademik, serta pelajar Malaysia dan Luar Negara.  Selain itu, pameran ini dapat dijadikan sebagai satu landasan kepada kumpulan penyelidik akademik mahupun bukan akademik dalam mengkomersialkan produk inovasi dan kreativiti.