PERTAHANKAN RUKUN NEGARA DAN PERLEMBAGAAN

fb story
UUM ONLINE: Malaysia sudah merdeka sejak 64 tahun, namun bagaimana rakyat negara ini mengisi kemerdekaan yang berdepan cabaran berliku? Ketua Polis Johor, Dato' Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, untuk memastikan pengisian kemerdekaan dikekalkan, harmoni dan diperkukuhkan, Rukun Negara dan Perlembagaan perlu dipertahankan. Menurutnya, Perlembagaan dan Rukun Negara menjadi asas penting yang perlu dipertahankan dan sekiranya terdapat cubaan menggugat salah satu daripadanya, maka runtuhlah negara.
Katanya, Malaysia mempunyai acuan tersendiri, justeru jangan ikut negara luar atau bandingkan Malaysia dengan negara lain. Jika tidak dapat mengekalkan Rukun Negara, nescaya negara akan hancur termasuk keselamatan dan keharmonian. “Cabaran seterusnya adalah dadah yang merupakan musuh utama negara. Permintaan dan penawaran bahan terlarang ini masih tinggi dengan elemen rasuah banyak yang melibatkan anggota penguatkuasa bersekongkol dengan sindiket dadah antarabangsa serta kurangnya kesedaran. "Selain itu, rasuah dan salah guna kuasa. Rasuah umpama anai-anai yang makan dalam jika tidak ditangani dengan tuntas dalam semua aspek dan dibiarkan berleluasa, maka hancur sesebuah organisasi atau negara,” katanya pada program Bicara Tokoh Kepimpinan 2021: Menghadapi Ancaman Masa Kini dalam Melestari Kemerdekaan Malaysia menerusi Webex, baru-baru ini. Kemerdekaan bermakna menghargai dan menghayati kemerdekaan yang dicapai setelah 64 tahun dengan membebaskan diri daripada hawa nafsu seperti rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa di samping pengabdian diri kepada Allah. Tema Hari Kebangsaan ‘Malaysia Prihatin’ amat sesuai kerana memberi perhatian khusus pada sesuatu isu yang memerlukan kebersamaan dalam berganding bahu menangani Covid-19.
Dalam konteks ini, Dato’ Ayob menjelaskan tentang pihak penguat kuasa khususnya polis prihatin terhadap isu jenayah. Menurutnya, beliau meminta rakyat prihatin dalam menyalurkan maklumat dan berkolaborasi dengan polis untuk sama-sama menangani isu keselamatan, sosial dan ekonomi.
Katanya, slogan ‘Polis Dan Masyarakat Berpisah Tiada’ membuktikan polis memberi khidmat terbaik kepada masyarakat supaya betul-betul menghargai tugas dan tanggungjawab polis. "Polis wajib prihatin kepada semua masalah masyarakat. Sebarang aduan yang dikemukakan seperti judi, ketum, pelacuran, dadah, penyalahgunaan kuasa dan penyeludupan. "Saya mahu pastikan dalam konteks penguatkuasaan polis bagaimana menangani isu integriti, jangan cakap lain buat lain, bukan seperti zaman dulu orang memerhatikan kita sekarang, kemudian disalurkan dan dihebahkan," katanya. Berkongsi falsafah hidup, beliau menyeru supaya kembalilah pada pegangan agama, ikhlas dan jujur agar tidak tersasar selain terus melakukan perkara yang baik. Webinar anjuran Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir Mohamad (IPDM) dengan kerjasama Jabatan Keselamatan UUM itu dikendalikan Ketua Unit Kajian Keselamatan dan Polisi Luar Negara, Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Prof. Dr. Muhammad Fuad Othman sebagai moderator.