KESERONOKAN BEKERJA KUNCI PRODUKTIVITI ORGANISASI

KESERONOKAN BEKERJA KUNCI PRODUKTIVITI ORGANISASI

UUM ONLINE: Keseronokan bekerja merupakan antara elemen penting untuk menjadikan staf lebih produktif dalam memacu kejayaan sesebuah organisasi.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU), Tan Sri Dr. Mohd Shukor Mahfar berkata, keriangan di tempat kerja terhasil daripada sikap yang ditunjukkan staf dalam bentuk keceriaan, keselesaan dan ketenangan ketika melaksanakan tugas yang akhirnya meningkatkan kualiti kerja dan produktiviti.

“'Happiness makes you more productive' tetapi 'workaholic' membuatkan kita kurang produktif, bila tidak ada 'mood', 'stress', semua kerja tidak menjadi.

“Apapun berbalik pada hati, bila hati baik semuanya jadi mudah, masalahnya bila buat sesuatu sering menyalahkan orang lain,” katanya pada Syarahan Sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan: Kecemerlangan Kepimpinan Dalam Menghadapi Cabaran Masa Kini di Auditorium SOIS, semalam.

Beliau berkongsi pengalaman dan kualiti kepemimpinannya ketika dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada 2011 sehingga  berjaya mentransformasikan imej, reputasi dan prestasi yang cukup membanggakan.

Namun katanya, ramai yang ingin menukar budaya tetapi tidak tahu apa yang ingin ditukar dan di mana puncanya.

Menurutnya, beliau telah bekerja selama 36 tahun dan pelbagai jenis bos atau majikan dijumpai, tetapi apapun sebagai majikan perlu menjadi ‘great motivator’ untuk memberi semangat, menyokong, menghargai dan menjaga kebajikan staf.

“Bos macam cikgu, sentiasa mahu anak murid lebih bagus daripadanya, justeru amalkan tiga perkara iaitu berfikiran terbuka, pendengar yang baik dan bersangka baik.

“Bila staf sudah ada motivasi, dia anggap kita sebagai hero, lalu bergerak bersama kita membawa misi, perlahan-lahan yang negatif akan kurang,” katanya.

Tambah beliau lagi, untuk melahirkan staf yang inovatif berilah kebebasan, peluang dan platform baru untuk dia berkembang maju.

Menurutnya, kepimpinan sangat penting, ilmu pengetahuan boleh dicari, pergi kursus sana sini tetapi tidak berubah juga, kerana semuanya bermula dari ‘attitude’ (perangai) yang akan membina ‘behaviour’  (kelakuan) kemudian menjadi ‘culture’ (budaya).  

“Ingat ABC, bila perangai tidak betul buat macam mana pun tak jadi. Sikap berkait dengan hati jadi kena betulkan hati, kalau hati baik senang, kalau tidak, asyik buruk sangka.

“Saya jenis yang senang didekati, bersangka baik pada masa sama tegas, jadilah bos yang disukai staf kerana tanpa staf siapalah kita,” katanya yang turut berkongsi 5 nilai teras LHDN iaitu profesionalisme, cemerlang, integriti, kerjasama dan gembira.